21 Oktober 2010

BolehKah Memakai Jubah Hitam Putih?



Terima kasih kepada yang bertanya tentang pendapat saya mengenai "bolehkah kita pakai jubah hitam putih kerana paderi memakainya". Mungkin pada yang bertanya ini juga ada pendapat tersendiri mengenai entri saya sebelum ini mengenai tudung yang menyamai dengan tudung biarawati (sisters kristian) sehinggakan terus bertanya mengenai jubah hitam putih yang dipakai oleh paderi.


Saya tidak menafikan dibolehkan memakai jubah tetapi jubah bagaimana pula yang dibolehkan? Dan mengenai tudung fesyen sekarang melalui bicara hati ini tetap tidak berkenan dengan cara pemakaian tudung walaupun ianya bertutup litup tetapi menunjukkan leher yang kemungkinan jinjang. Saya tidak berani meletakkan apa-apa hukum memakai tudung sedemikian rupa cuma saya titipkan bersama sebagai renungan dan ikhtibar dari Sabda Nabi :

"Sesiapa yang menyerupai satu puak, maka dia di kalangan mereka" (riwayat Abu Daud, al-Albani menilainya sebagai sahih).


Maksud “ Menyerupai “ boleh juga diertikan sebagai “menyamai , meniru-niru , mengajuk-ngajuk dan sebagainya . Kalau perkataan ini kita fahami secara umum , sudah tentu ianya tidak sesuai dengan tuntutan Islam yang memudahkan umatnya . Tidak sesuai dipakai erti “ menyerupai “ secara umum ( mutlak ) kerana di dalam kehidupan kita sehari-hari sendiri banyak perkara yang sama di antara kita dengan orang-orang bukan Islam .

Contohnya :

Kita menaiki kenderaan , mereka ( non-muslims ) juga menaiki kenderaan .

Kita ke sekolah , mereka pun ke sekolah .

Kita makan pakai tangan , mereka pun makan pakai tangan .

Kalau kita makan dengan sudu dan garpu , mereka pun begitu juga .

Kalau kita pakai kemeja dan seluar , mereka pun begitu juga .

Kalau kita ada rumah batu , mereka pun ada rumah batu juga .

Pendek kata Banyak perkara yang serupa yang kita dan mereka lakukan di dalam kehidupan sehari-hari .


APAKAH ERTI SEBENAR "MENYERUPAI" ?


Umat Islam dilarang menjadikan orang-orang bukan Islam sebagai idola mereka dan meniru-niru pula cara hidup mereka . Ini disebabkan umat Islam adalah umat yang terbaik di sisi Allah Ta’ala dan merekalah yang sepatutnya ditiru bukannya meniru .


Namun apa yang berlaku kini umat Islam di akhir zaman terbalik pula jadinya , mereka bukan sahaja terikut-ikut dengan cara kehidupan orang-orang bukan Islam yang tidak sesuai dengan ajaran Islam , bahkan kadang-kadang di dalam aqidah dan ibadah sekalipun , mereka turut mengikutinya. Maka dimanakah letaknya darjat orang Islam yang kini nya semakin ramai dimanpulasikan dengan pengaruh luar yang bertentangan dengan syariat Islam?


Baginda Rasulullah s.a.w telah bersabda dengan maksudnya :

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “ Kamu pasti akan mengikuti sunnah ( cara ) orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggakan jika mereka masuk ke dalam lubang dhob sekalipun, kamu tetap akan mengikuti mereka. Kami bertanya: Wahai Rasulullah, apakah yang kamu maksudkan itu adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani ? . Baginda bersabda: Kalau bukan mereka, siapa lagi ? “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim ( rahimahumalLah ) .


Sebagaimana yang telah dinyatakan di atas , demi mengekalkan jati diri dan syaksiah umat Islam , maka mereka dilarang menyerupai orang-orang bukan Islam . Semuanya ini akan melibatkan banyak aspek dari segi Aqidah dan kepercayaan, Ibadah, Akhlak dan kehidupan seharian .


Saya berikan satu contoh yang mudah kita lihat Orang-orang bukan Islam memakai neck tie , berkot , berkemeja dan sebagainya . Tidaklah salah umat Islam hendak memakai pakaian seperti ini sebab tiada dalil yang menegaskan bahawa pakaian umat Islam serban dan jubah semata-mata begitu juga pada warna pakaian.



ADAKAH BOLEH MEMAKAI JUBAH ?

Firman Allah s.w.t

"Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu..Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Ahzab : 59).


Model pakaian yang paling disukai oleh Rasullah s.a.w adalah gamis (sejenis jubah), kerana dengan gamis lebih menutup tubuh daripada memakai izar dan rida (pakaian atasan dan bawahan seperti yang dipakai orang yang sedang berihram). Pada masa Rasulullah s.w.t, orang-orang Arab memakai izar dan rida, dan ada juga yang memakai gamis, akan tetapi Rasulullah s.a.w lebih menyukai gamis kerana alasan di atas lebih menutupi seluruh tubuh.


Dalam hadis dari al-Mughirah bin Su’bah, beliau berkata: Sesungguhnya Nabi s.a.w. memakai jubah Rom – dalam sebahagian hadis disebut jubah syamiah (negeri Syam) – yang sempit kedua tangan bajunya. (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain).


Seperti kita maklum Rom ketika itu adalah tamadun besar Kristian bagaikan dunia Barat pada hari ini. Namun jubah Rom atau syamiah tiada kaitan dengan agama berkenaan, ia adalah pakaian bangsa.


Lihat apa kata sarjana agung umat ini Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H):

“Rasulullah s.a.w. pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban, baginda pernah memakai kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain sarung), baginda pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan panjang kedua tangannya).


BOLEHKAH WARNA JUBAH HITAM PUTIH?


Islam itu syumul yang senantiasa berlandaskan Al-Quran dan As-sunnah maka mengenai Soal pakaian dan budaya Islam adalah terbuka dengan syarat tidak melanggari prinsip-prinsip syarak seperti pakaian atau perbuatan yang khas hanya untuk penganut agama tertentu selain Islam atau kelompok tertentu yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Ini seperti pakaian atau perbuatan khas sami atau paderi, atau khas kelompok yang terang-terang menyanggahi Islam.


Sabda Rasulullah saw., “Kenakanlah pakaian berwarna putih, karena warna putih adalah paling suci, dan paling baik, serta kafanilah mayat kalian dengan kain berwarna putih.” (Diriwayatkan An-Nasai dan Al-Hakim yang meng-shahih-kannya).

Rasulullah s.a.w menggalakkan warna putih, namun ada beberapa hadis menunjukkan baginda juga memakai warna lain. Baginda memakai berbagai-bagai pakaian dari berbagai-bagai negeri seperti Yemen, Najran, Mesir dan lain-lain.

Maka apa yang perlu kita lakukan adalah dengan mengambil iktibar walaupun kita BOLEH berpakaian seperti mereka . Selagimana kita boleh mengelak dan mencari ruang selagi itulah kita perlu berbeza dengan mereka.


Jika tiada ruangan yang membolehkan kita berbeza dengan mereka , maka tidak mengapa kita menyerupai mereka itupun di dalam ruang dan batas-batas yang terhad . Contohnya di dalam menggunakan sains teknologi yang mereka hasilkan disebabkan kita sendiri lemah daripada mencipta rekaan-rekaan baru seperti itu . Dan kelemahan kita itu tidak syak lagi disebabkan kita sendiri lupa dan lalai dan senantiasa membiarkan pengaruh luar masuk tanpa henti-henti.

wallahualam.

p.s/-Respon pada yang bertanya

1 ulasan:

Unknown berkata...

salam..menarik betul entry ameera..mntak share ye nak letak link cerite ni kat blog Naru..=)

http://narumiaida.blogspot.com/2011/10/dinar-emascom-httpwwwdinar.html