26 Disember 2012

Kita , Semut....?


Orang lain semua sibuk membilang hari untuk menyambut tahun baru 2013. Tetapi kami yang berada diperantauan semua sibuk tekun menelaah buku disamping itu juga ada yang sibuk buat "demostrasi" lebih-lebih lagi di Egypt.

Hari demi hari.. terasa bahang "musim peperiksaan" itu walaupun sebenarnya suhu diluar rumah mencecah 9~17celcius. Bila lihat buku terasa bagai mahu saja "telan dan kunyah" supaya melekat di jiwa. Tapi itu semua bayangan yang tidak mungkin akan terjadi...dan tidak mungkin itu adalah PASTI...

Hati semakin risau, berkali-kali belek buku.. Tidak Faham....seolah-olah tidak pernah dibaca... Makin dibaca makin tidak faham..(aik! pelik bukan ?) kenapa ya?..

Bila masuknya musim peperiksaan , masing-masing membuat cara yang tersendiri. Ada yang belajar ditemani Nescafe, ada yang belajar ditemani dengan mp3, ada yang belajar sambil bergulung dengan selimut tebal. Semuanya rajin seperti semut.

SEMUT? ( laa kenapa disamakan dengan semut pula....?)



Kita sebagai pelajar yang tekun berusaha rajin dan gigih dalam memahami ilmu yang kita pelajari. Tidak kiralah ilmu perubatan mahupun ilmu agama. Kita ini bagaikan SEMUT yang tidak pernah berhenti dari bekerja.. Siang malam pagi petang dia berusaha tanpa rehat mengumpul makanan. Belum pernah dilihat seekor semut terbaring keletihan. Dia hanya diusung oleh teman-temannya apabila dia mengalami kesakitan ataupun setelah mati. Selebihnya ia akan bekerja, bekerja dan bekerja.

Semut boleh menghimpun makanan untuk bekalan yang amat lama sedangkan usianya tidaklah lebih lama daripada banyaknya bekalan makanan yang boleh dihimpunnya itu. Semut juga adalah tukang jahit yang mahir. Mereka menyambung daun-daun dengan menariknya daripada dua bahagian dan menjahit daun-daun ini bersama. Dengan cara ini, mereka membuat rumah yang baik untuk diri mereka.

Semut mempunyai jenis yang lebih banyak daripada hidupan-hidupan yang lain. Daripada setiap 700 juta semut yang dilahirkan ke dunia, hanya terdapat 40 kelahiran manusia. Dengan kata lain, jumlah semut-semut di dunia ini adalah jauh lebih banyak daripada manusia.

Walaupun, berjuta-juta lamanya mereka tinggal bersama, mereka tidak mempunyai sebarang masalah di antara mereka, tidak ada kekeliruan atau kecamukan. Mereka hidup di dalam kehidupan yang begitu terancang di mana setiap mereka mematuhi peraturan.

Satu Kelebihan yang paling jelas dan nyata, yang mana kita perlu jadikan makhluk kecil ini sebagai contoh yang terbaik untuk KITA.

Dan...... KITA sebagai pelajar perlu tanamkan semangat yang kuat , gigih berusaha, sabar dalam setiap dugaan. Dan paling utama sekali DOA.

Buat SAHABAT-SAHABAT KU....
"Semoga kita dipermudahkan dalam memahami setiap apa yang dipelajari...dan semoga kita semua Najjah fi Dunnia wal akhirat"

22 Disember 2012

Hati ini Di Cuit .......

Dalam kesibukan belajar, masih lagi ada ruang untuk kami meluangkan masa menyambut hari kelahiran ahli bait kami.. riuh rendah dibuatnya dengan gelak dan tawa. Sungguh hubungan persahabatan itu sangat indah. Sentiasa berkongsi rasa…gembira, suka, duka, tangisan… semuanya ada. Kemeriahan itu terasa lagi dengan kehadiran sahabat-sahabat dari Alexandria yang singgah bermalam di rumah kami.. SELAMAT HARI LAHIR SAHABAT KU… Suasana riuh rendah silih berganti dengan ketawa riang.


Begitulah juga dengan diri ini yang sebenarnya sedang cuba menghilangkan rasa “stress” dan “tension” yang mula menguasai diri… Hati ini sudah mula merasakan kerisauan, ketakutan, dan “gelisah” bila melihat buku-buku masih banyak perlu ditelaah dan di”jelajah”.

“Ya Allah, kau permudahkanlah urusan kami dalam memahami ilmu Mu”.

Pelajaran untuk semester ini adalah Ahwal Syakhsiah (mirath), Tafsir ayat al-ahkam, Adab Balagha, Usul Dakwah dan English. Walaupun hanya lima madah tetapi tetap merasakan berat. Tapi insyAllah akan dipastikan sebelum menjelang imtihan buku-buku ini pasti akan di “selidik”.

Bila mengadap ilmu Mirath ini aku merasakan mampukah aku menyelesaikan masalah ini..Seharian suntuk mengadap buku Mirath otak pun bercelaru ..

Sedikit perkongsian yang mungkin boleh berkongsi bersama. Ilmu Mirath ini juga disebut dengan ilmu Faraid. Ilmu mengenai kaedah-kaedah pembahagian feqh yang dipakia untuk mengetahui bahagian yang menjadi hak setiap ahli waris dalam harta warisan.

Sabda Rasulullah s.a.w :" Pelajarilah ilmu Faraid dan ajarkanlah ilmu itu kepada manusia kerana ilmu ini adalah separuh dari ilmu syariat dan ilmu ini yang akan pertama kali dilupakan dan paling awal sekali dicabut dari umatKu".

Rukun Waris ada tiga , iaitu :
1.]  Mayat ( yang meninggalkan harta warisan )
2.]  Pewaris ( yang berhak mendapat harta warisan )
3.]  Harta warisan ( harta yang ditinggalkan )

Penghalang dari mendapat hak waris ada tiga;
1.] Hamba Sahaya.
2.] Pembunuhan.
3.] Perbezaan agama.


Mengapa bahagian lelaki lebih banyak dibandingkan perempuan?
1) Perempuan tidak mempunyai kewajipan kepada sesiapapun. Berbeza dengan lelaki, sebab ianya diwajibkan untuk memberi nafkah kepada keluarga dan juga lain-lain daripada kalangan orang yang wajib diberikan olehnya.

2) Lelaki memberikan maskahwin kepada isterinya, ianya juga diwajibkan untuk memberi nafkah seperti tempat tinggal, makanan, pakaian, kepada isteri dan anak-anaknya.

3) Biaya pendidikan bagi anak, biaya perubatan bagi isteri dan anak juga kewajipan untuk lelaki.

Mengapa anak lelaki didahulukan berbanding dengan bapa?
Ada yang mengatakan, darjat anak lelaki dan bapa adalah sama dalam kedudukan keluarga dan nisbahnya kepada seseorang. Anak lelaki adalah keturunannya dan bapa adalah orang tuanya. Kedua-duanya bernisbah kepada orang yang mati dalm satu kedudukan dan darjat.

Tetapi sebenarnya, mengapa peringkat anak lelaki didahulukan disebelah peringkat bapa disebabkan anak lelaki itu menjadi asobah yang mustahak.

Sepertimana dalam firman Allah swt : " Dan untuk ibubapa bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak".

Ayat diatas secara tidak langsung menunjukkan bahawa anak lelaki didahulukan ke atas bapa dalam masalah asobah.

Alhamdulillah sedikit input dari otak... Tapi stress semakin bertambah dalam bab mengira. Masa pun semakin berubah detik ke minit hinggalah berubah waktu..Sejuk duduk diruang tamu membuat diri ini berpindah masuk ke dalam bilik. hurm? ada sebuah kotak hitam diletak bersebelahan dengan laptop ku. Hati ini tertanya-tanya kenapa ada kotak hitam dekat laptop ku..? hairan tapi still tidak membukanya sebab memang tahu apa didalamnya . Tanya dengan roomate tetapi dia juga tidak mahu beritahu dan akhirnya dia memberitahu itu adalah surprise  sempena hari lahir ku bulan oktober.... Rasa lucu pun ada tiba-tiba mendapat surprise dari sahabat yang merupakan ahli bait juga..



eh!? Orang lain yang sambut birthday orang lain pula yang dapat surprise…memang langsung tidak sedar tentang surprise yang diberikan....senyap dan sunyi surprise itu tapi amat menyenangkan. Hati di cuit rasa gembira dan stress bila melihat buku mirath pun hilang…...Terima Kasih Sahabat ku..

14 Disember 2012

keluhan ku

Bicara hati ini sukar untuk dikongsikan pada orang yang tidak rapat sesama kita tetapi hakikatnya kita perlu juga meluahkan perasaan kita ini. Setiap orang ada keluhan sendiri. Dan diri ini juga seperti itu. Dan trade mark yang sudah sinonim dengan diri adalah “stress”.. entah lah susah mahu katakan..berat tanggungjawab ini. Aku sendiri hairan mengapa orang benar-benar mempercayai diriku..seolah-olah diri ini sangat hebat tapi hakikatnya aku adalah insan biasa yang masih cuba mengerti "apakah itu? apakah ini?...." Tidak tahu dimana mahu luahkan… hati ini perlu kuat..hati ini perlu cekal… hati ini perlu tabah..

Ingatlah pesanan Imam Hassan Al-Bana :” Bersungguh-sungguh dalam belajar, Istiqmah dalam melaksanakan Islam dan Taburkanlah kasih sayang sesama Islam”…

Dan aku adalah seorang yang terpilih untuk memahami apakah ertinya aku hidup di dunia Allah ini..? aku takut aku lalai dan leka dengan kemewahan hidup di dunia sehingga aku tidak mahu berjuang di medan Islam.. Aku takut aku cuba lari dari tanggungjawab. Aku tidak layak memegang mana-mana taklifan kerana aku tau dimana kemampuan ku. Sangat malu dan takut untuk berada dihadapan.. kerana tidak bisa berada di khalayak ramai....aku bukan seperti MEREKA....berani....tidak takut....yakin....TETAPI.... aku perlu kehadapan… jika bukan aku siapa lagi…

Kita adalah Daie..kitalah peneraju ummah…kitalah tentera rasmi yang Allah telah pilih di Luhmahfuz.. 

Semoga aku thabat dalam berjuang...

09 September 2012

ooo My Language



Bila berada di suatu tempat pastinya pelbagai ragam dan bahasa yang berlainan. Lain kawasan lain lah caranya. Begitu lah yang terjadi pada diri saya..

Saya lahir di Sabah, membesar di sabah, belajar di sabah, berkawan dengan orang sabah.. cara pergaulan dan bahasa saya juga lebih kearah sabah. Sedangkan pada hakikatnya saya bukanlah seorang anak jati orang sabah. Kedua ibubapa saya adalah orang semenanjung…Cuma berkhidmat sahaja di negeri sabah.

Sekarang Alhamdulillah menuntut pelajaran di bumi anbiya’ mesir . Suasana yang berlainan, pelbagai bangsa dan cara hidup yang langsung berbeza dengan Malaysia. Dan saya masih lagi di kelilingi dengan orang sabah. Jadi mahu tak mahu saya perlu berbangga menjadi orang sabah. Jiwa saya sudah sebati dengan slang sabah membuatkan saya sukar untuk berkomunikasi dengan sahabat-sahabat dari semenanjung. Bila nak bercerita dengan sahabat semenanjung terasa seperti lidah ini tergeliat susah untuk menyusun ayat yang sesuai. Terasa lucu teramat sangat bila memikirkan sebenarnya saya ni adalah yang berdarah semenanjung tapi saya sendiri susah mahu bercakap..(^_^)

Lagi yang lucunya bila sanak saudara belah selangor datang berkumpul semuanya..segala bahasa yang keluar saya tidak faham sebabnya bahasa banjar. Satu patah pun saya tidak boleh faham..bertambah lagi lucu pula bila kami adik beradik duduk bercerita…satu-satu kami akan mengulang semula kalimah yang biasa kami dengar dalam bahasa banjar…

Selain daripada bahasa banjar kami pun ada lagi satu channel loghat orang utara iaitu kedah. Oleh kerana abang-abang saya pernah belajar di kedah. Tambah lagi kakak ipar dan nanti bakal-bakal kakak ipar pun orang kedah nah apalagi saya sendiri bingung. kadang-kadang tidak faham apa yang mereka ceritakan. Bila saya duduk bercerita bersama kakak ipar saya akan gunakan bahasa standart supaya mudah tapi masih juga slang sabah ada..yang lucunya saya bercakap dalam slang sabah …kakak akan bercakap dalam slang kedah….(^_^) dan hasilnya kami tetap faham apa yang nak disampaikan Cuma adalah juga saya tak faham…(^_^) tapi it’s fine…

Saya cuba untuk ubah language ini tapi ntahlah masih juga…mungkin saya nie terlebih berkawan dengan orang sabah…Jiwa dah melekat di sabah itu yang sebenarnya payah… tak menjadi masalah pun sebenarnya menggunakan slang sabah cumanya sahabat-sahabat dari semenanjung laa yang payah untuk memahami rentak slang kami….kadang-kadang kami hairan kenapa sahabat2 kami sukar untuk memahami slang sabah sedangkan slang yang kami cakap adalah slang standart… tapi tak pa laa…everything it's ok…(^_^)

Tapi apa yang saya nak katakan…sangat seronok dapat bercakap dalam pelbagai slang bahasa.. walaupun masih terkial-kial untuk bercakap tapi ukhuwah itu tetap ada…(^_^)

22 Jun 2012

Musafir AmeeraRaudah.blogspot



Entah mengapa tiba-tiba rasa terdetik dihati untuk membiarkan jari-jari ini menaip papan kekunci laptop. Seperti ada yang kosong.. ada yang tidak lengkap apabila jari ini menekan icon google chorme. Blog AmeeraRaudah sudah lama tidak dibuka dan tiada entry pun yang dikongsikan bersama. Puncanya sebab ada sifat malas. Kemudian bila telah lama tidak menggerakkan jari menaip di blog, otak terus kata “delete jak la blog ini”. Jari terus sibuk menekan icon delete blog.

Selama 21 hari blog AmeeraRaudah tidak wujud . Selesai . Muktamad buang dan yakin tidak akan kembali mula menaip blog. Tetapi entah macam mana hati ini terdetik mahu menaip lagi. Rasa sayang pula dibiarkan ianya berkubur terus.Dan akhirnya buat keputusan untuk meneruskan semula blog untuk AmeeraRaudah. Tetapi dengan wajah baru, Url baru, azam baru. Kalau dahulu AmeeraRaudah tetapi sekarang Musafir Ameera Raudah.

Kenapa Url blog bertukar? Sebab mahu perubahan. Itu sahaja. Hanya kerana mahu yang baru.

Ameera Raudah tetap ada hanya url blog sahaja berubah. Mohon maaf pada sahabat-sahabat yang tidak dapat buka entry AmeeraRaudah.blogspot.

Terima kasih atas segalanya......

13 Mac 2012

Rehlah Ra'sulBar


"Dia membiarkan dua laut mengalir yang (keduanya) bertemu. Diantaranya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing” (surah Ar –Rahman ayat 19-20).

Perjalanan pergi dan balik dari Cairo untuk ke Dumyat adalah satu perjalanan yang sangat jauh dan memenatkan kerana terlalu lama duduk dalam Coster menyebabkan sakit belakang dan sakit kaki. Penat tetapi gembira dapat menjejakkan kaki ke satu tempat yang telah disebut dalam Al-quran sebanyak 3 kali iaitu ra’sul Bar.

Maha suci Allah pencipta seluruh alam yang mengetahui segala yang tersurat dan tersirat. Betapa indahnya hidup ini apabila dapat melihat ciptaan yang telah terlukis dihadapan mata kita. Sebanyak 3 kali Allah menyebutkan tentang kisah ini bagi menekan kekuasaan Allah dalam mengatur kejadiaan pertemuaan sungai dan laut dengan penghalang yang tidak boleh dilihat dari sekali pandang. Walaupun bertemuan antara laut dan sungai tetapi tidak bercampur.

Ra'sul Bar adalah suatu tempat pertemuan laut Meditteranean dan sungai Nil yang mana ianya juga dikenali sebagai segitiga emas yang terletak di semenanjung pantai laut mediterrenean. Sejarah yang tercatat dari zaman awal lagi Ra’sul bar telah menjadi tempat pelabuhan utama semua jenis barangan yang melalui sungai nil dan juga laut.Firaun Pharos memanggil Ra’sul Bar sebagai Mediterranean sea (laut hijau yang hebat).Orang rome pula memanggil (roman sea = laut Rom). Manakala nama ra’sul bar sendiri datangnya dari golongan kelasi yang merasakan bahawa tempat ini mampu menjadi tempat perlindungan dari bahaya laut. Ra’s bermaksud permulaan dan al bar bermaksud tanah.

Firman Allah swt :“Dan Dialah yang mempertemukan dua laut; yang ini tawar lagi segar, dan yang ini masin lagi pahit. dan Dia menjadikan di antara keduanya terdapat batas dan penghalang yang tidak terlampaui”. QS,25:53

Dikatakan juga bahawa, dalam beberapa kitab tafsir disebutkan ayat ini menceritakan tentang bertemunya dua lautan tetapi tidak bercampur airnya ini adalah lokasi di muara sungai, di mana terjadi pertemuan antara air tawar dari sungai dan air masin dari laut.

Melalui sains moden,berlakunya penghalang antara dua air laut dan yang bertemu di satu tempat disebabkan masing-masing memiliki temperature,kadar garam dan kekentalan yang berbeza.

Melalui kisah dalam Al-Quran, tempat ini juga adalah tempat pertemuan Nabi Musa a.s dan Nabi Khaidir seorang hamba Allah yang soleh.

Suatu perjalanan yang banyak memberi pengetahuan dan juga menanamkan hikmah yang sangat dalam.Pengalaman berada di sebuah negara yang mana banyak kisah yang tersirat didalam Al-Quran.











11 Mac 2012

Kerajaan Turki Utmaniyah


Pembentukan kerajaan Turki merupakan proses sejarah yang panjang dan tidak terjadi dengan tiba-tiba. Dalam sejarahnya selama lima abad iaitu bermula pada akhir abad ke-13 hingga awal abad ke-19 kerajaan Turki Uthmaniyahtelah mengalami pasang surut. Pada satu sudut, dapat dilihat sebuah sistem politik yang diwarisi dari Kerajaan Turki Saljuk dan mengalami perkembangan yang gemilang dan akhirnya mengalami kemerosotan.

Empayar Turki Uthmaniyah telah diasaskan oleh Uthman 1 yang mengistiharkan kemerdekaan wilayah Uthmaniyah pada tahun 1299.Wilayah ini mula berkembang melalui penaklukan Constatinople oleh Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453 dan terus gemilang semasa pemerintahan Sulaiman Al-Qanuni. Namun selepas kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni pada tahun 1566 berlaku kemerosotan dalam empayar Turki Uthmaniyah.

Malang yang menimpa ini adalah lantaran kelemahan-kelemahan yang wujud dalam kerajaan Turki Uthmaniyah yang telah membawa kepada kejatuhan empayar yang telah mencapai zaman kegemilangan.Keruntuhan empayar yang telah mencapai kegemilangan ini merupakan peristiwa yang kompleks bagi sebuah masyarakat Islam dari sebuah kerajaan menuju negara moden.

Pada proses keruntuhannya, Turki Uthmaniyah merupakan wilayah yang besar meliputi semenanjung Balkan, AsiaKecil, Arab Timur Tengah,Mesir dan Afrika. Namun,akibat daripada pelbagai faktor yang akhirnya membawa kepada kejatuhan Empayar Uthmaniyah sehingga memberi kesan kepada negara-negara Islam disekitarnya yang turut terkena tempias akibat kemerosotan Turki Uthmaniyah.

Faktor-Faktor Kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyah.

1 Politik
Faktor politik ini termasuk kelemahan kepimpinan, pentadbiran dan pemerintahan yang tidak teratur serta ketenteraan yang lemah.Setelah kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni empayar Turki pada tahun 1566 mula memperlihatkan kejatuhan dan kemunduran.Disebabkan daripada kelemahan sultan,baik dalam keperibadian dalam kepimpinannya dengan sikap lebih mementingkan hiburan dan kesenian sehingga menyebabkan kerosakkan moral.

-Sultan Murad III telah dikuasai oleh nafsu sepanjang pemerintahan sehingga mempunyai 118orang anak.

-Sultan Ibrahim membunuh 100000 orang dan menyaksikan sendiri pembunuhan
25000orang daripadanya.

-Kehidupan sultan yang hidup bermewah-mewah akhirnya mendorong perlakuan tidak bermoral yang telah membawa kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.

-Turki Uthmaniyah mempunyai pemimpin tetapi saling silih-berganti kerana masalah perebutan takhta dalam kalangan pembesar dan pemerintah.

-Sistem syura tidak diamalkan dan pemilihan pemimpin kebiasaannya adalah berdasarkan kekuatan.Keadaan ini telah mendorong ke arah peperangan antara putera-putera raja yang menyebabkan ketidakstabilan politik dan kepimpinan yang menurun.

-Kelemahan kepimpinan ini menyebabkan kerajaan dikuasai oleh anggota-anggota harem atau kelompok tertentu dalam istana.

-Semasa pemerintahan Ibrahim, dia dipengaruhi oleh Bonda dan tiga orang isterinya yang masuk campur dalam pemerintahannya untuk menyingkirkan Wazir AgungKara Mustafa. ( Kara Mustafa adalah seorang yang banyak berjasa kepada Sultan Murad IV)

-Dalam aspek Pertahanan Politik masalah timbul dalam disiplin ketenteraan di kalangan pegawai atasan. Putera-putera raja yang berpontensi telah disisihkan dan memilih putera sulung. Perlantikan Bayezid 1 dan Salim II dipilih bukan berdasarkan kemampuan yang unggul.

- Kelemahan ketenteraan: Penghapusan aristokrasi tentera lama yang menjadi saingan kepada kuasa kerajaan. Penghapusan ini menyebabkan sistem tentera hamba menjadi terbatas kerana seksyen ketenteraan yang dominan dalam angkatan tentera telah membenarkan anak-anak pegawai mendapat pangkat, dan menghapuskan asas disiplin dalam tentera.

2) Ekonomi
-Perlantikan jawatan yang bukan didasari dengan kebolehan.Jawatan memungut cukai diberikan kepada sesiapa sahaja yang berikrar untuk memberi sumbangan kutipan yang besar kepada perbendaharaan negara. Keadaan ini bertambah buruk apabila kadar cukai yang tinggi dikenakan membebankan rakyat dan menyebabkan rakyat memberontak.

-Perdagangan yang lembab: Disebabkan oleh saingan dengan negara Eropah yangsemakin maju dalam bidang perdagangan.Pada abad ke-16,Turki Uthmaniyah bersaing dengan Portugis untuk menguasai jalan perdagangan di perairan India. Dalam pada itu, sistem kapitalisme yang diperkenalkan di Eropah menyebabkan revolusi perindustrian muncul dan menenggelamkan industri tradisional masyarakat Turki.

-Peperangan yang tidak pernah berhenti.Pendapatan yang semakin berkurang dan dibebankan dengan belanja negara yang semakin besar termasuk perbelanjaan perang mendorong kepada kemelesetan ekonomi Turki Uthmaniyah. Kesannya,kegemilangan Turki dari aspek ekonomi semakin suram dan menuju kejatuhan.

3) Sosial
Masalah sosial seperti pemberontakan, ajaran Islam telah diselewengkan dan rasuah.

-Pemberontakan:Tiada lagi penyatuan antara golongan pemerintah dan rakyat jelata. Keadaan dapat dilihat apabila berlaku pemberontakan dalam kalangan puak Kurdish, puakDruze di Syiria, tuan-tuan tanah tentera di Anatolia dan Janissari di ibu kota yang ingkar dan suka memberontak telah mengganggu tumpuan tentera empayar menentang Austria, Poland dan Safavi.Pemberontakan ini mencetuskan masalah dalaman yang teruk

-Gejala rasuah yang semakin berleluasa: Rasuah di kalangan pegawai atasan disebabkan pemimpin yang tamak haloba.Pemerintahan Sulaiman sendiri meminta hadiah daripada orang yang hendak dilantiknya pada waktu perlantikan dan mereka perlu juga berbuat demikian pada peringkat bawahan untuk menampung kos tersebut.

Gejala rasuah ini telah menimbulkan kekacauan dalam pemerintahan dan melemahkan kedudukan kerajaan khususnya semasa pemerintahan Sultan MustafaIV kerana bebanan cukai yang tinggi untuk memperkayakan individu yang dilantik untuk mengutip cukai dan memberi hadiah kepada pembesar yang membantunya memperoleh jawatan berkenaan.

-Keruntuhan akhlak dan kurang penghayatan Islam: Ajaran Islam telah dicemari dengan ajaran khurafat, tahayyul,amalan tasawuf yang melampaui batas tanpa menghiraukan tugas wajib iaitu untuk berjihad dan menegakkan amar makruf serta mencegah yang mungkar. Di samping itu,golongan istana juga terlibat dalam krisis moral dengan adanya pesta yang dilengkapi dengan minuman keras,dendangan musik

>4) Pengaruh Luar.
-Kebangkitan kekuatan Eropah (saingan kuasa-kuasa Eropah) : Kemajuan dari aspek ilmu pengetahuan yang telah dicapai oleh Eropah telah mendorong perluasaan kuasa atau imperialisme Barat berlaku. Gerakan-gerakan renaisans melahirkan perubahan-perubahan yang besar dalam sejarah dunia iaitu kebangkitan Eropah dan kemunduran kerajaan Islam diempayar Turki Uthmaniyah..

-Peperangan demi peperangan: kuasa Eropah telah berjaya mengalahkan kerajaan Turki Uthmaniyah. Peperangan dengan Austria sekitar tahun 1682-1689 yang menyebabkan kerugian yang besar bagi Turki Uthmaniyah. Penyatuan bangsa Eropah untuk menentang Turki telah menawan Hungary, kota Budapest, wilayah Transilvania dan beberapa wilayah. Penyatuan Prince Eugene of Savoy dengan tentera Austria telah mengalahkan Turki dalam Peperangan Petewarden pada tahun 1716.

-Perjanjian dengan negara Eropah: Perdamaian melalui perjanjian menyebabkan Turki semakin lemah yang akhirnya membawa kemerosotan.Perdamaian Passarowit yang ditandatangani pada Julai 1718 menyebabkan Turki kehilangan Timsuar, Belgrad,sebahagian besar negeri Serbia dan negeri Rumania.

Perjanjian Radsin telah ditandatangani selepas kekalahan Turki kepada Russia dan menyebabkan sultan Turki terpaksa menyerahkan Ukraine kepada Russia dan membuka perniagaan kepada bangsa Cossack di Laut Hitam setelah menguasainya selama beberapa abad.Jelaslah pengaruh luaran merupakan punca kepada kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah terutamanya kebangkitan semula Eropah selepas berlakunya zaman gelap.

-Pemberontakan pada Tahun 1908 : Gerakan Comitte Of Union And Progress (CUP) yang diketuai oleh yahudi zionis telah membuat pemberontakan yang dipanggil “Revolusi Turki Muda” untuk menentang khalifah. Khalifah dipaksa untuk meluluskan perlantikan menteri yang dipilih oleh Turki Muda.

-26.April.1909 : JawantanKuasa Kebangsaan memecat Sultan Abdul Hamid dari jawatan Khalifah. Sistem perlembangan dan parlimen dilaksanakan tetapi ala barat yang dibuat oleh Mustafa Kamal.

Kedudukan kuasa Turki Uthmaniyah yang besar dan luas pada suatu ketika dahulu telah hilang sama sekali pada penghujung abad ke-18 dan yang tinggal hanya beberapa daerah kecil yang masih berada di bawah taklukan Sultan Turki. Pengakhiran kerajaan Turki Uthmaniyah bermula selepas Mustafa Kamal Antartuk mengisytiharkan Turki sebagai kerajaan Republik.Sejarah ini dijadikan sebagai iktibar buat kita dan perlunya ada semangat kebangkitan semula untuk Islam agar kembali terbilang.

15 Februari 2012

say NO to Valentine Day



Sesungguhnya tidak ada cinta lebih utama untuk diberikan hanya kepada Allah SWT, kerana sebagai orang Islam, kita diajar oleh al-Quran, bahawa cinta sejati ialah hanya kepada Allah.


Sepertimana Firman Allah swt:"Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah (objek-objek lain) selain Allah, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman, mereka benar-benar mencintai Allah."(ayat 165, Al-Baqarah)


Jelas daripada ayat di atas, mengkhabarkan kepada kita, bahawa cinta orang-orang beriman yang sebenarnya hanya kepada Allah dan Rasul-Nya. Baginda Rasulullah s.a.w pernah bertanya pada Saidina Umar Bin al-Khattab, siapakah orang yang dia kasihi?, Umar Bin Al-Khattab menjawab bahawa baginda Rasulullah adalah orang yang paling dikasihi termasuk anak isterinya, kemudian beliau ditegur oleh baginda dengan sabdanya: Tidak beriman salah seorang daripada kamu, hingga dia mencintai aku lebih daripada mencintai kedua orang tuanya, anak isterinya dan seluruh manusia amnya.


14 februari adalah tarikh keramat bagi pasangan kekasih yang mungkin lebih percaya ada kelebihan yang sangat teristimewa pada hari tersebut. Tetapi tidak pada orang yang boleh berfikir waras dan sentiasa menganalisa sejarah hari kekasih. Sangat sayang dan sedih jika umat Islam sendiri yang "terhegeh-hegeh" mahu menegakkan hari kekasih perlu disambut. Apa yang kita boleh perhatikan dunia kini lebih banyak dipengaruhi dengan budaya barat. Tambahan lagi dengan gejala sosial yang melanda di negara kita sendiri juga sudah terlalu "tenat".


Hari Valentine bunuh semangat cinta kepada agama. Apa yang dipaparkan di atas, jelas menunjukkan ancaman Nabi Muhammad itu perlu diambil perhatian kepada orang-orang yang beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain.


Apa yang boleh diperhatikan pada hari Valentine ini adalah mengajak pasangan lelaki dan perempuan untuk berjumpa serta menunjukan rasa kasih antara satu sama lain dengan pemberian sejambak bunga dan sebagainya. Lebih menakutkan lagi apabila berlakunya maksiat yang ditegah dalam larangan Allah SWT.


Rasulullah saw juga memberi peringatan kepada seluruh umatnya, bahawa pertemuan dua pasangan kekasih tanpa orang ketiga menemani mereka adalah terdedah kepada godaan dan bisikan syaitan yang sentiasa mengajak untuk melakukan perkara yang terlarang dalam agama Islam.


Segalanya mungkin akan berlaku apabila pasangan kekasih itu bilamana tidak mempunyai hubungan atau pertalian keluarga, duduk berdua-duaan sama ada di taman bunga, di tempat-tempat sunyi yang jauh daripada pengetahuan dan penglihatan orang ramai, memudahkan mereka melakukan perkara yang tidak diingini.


Kita boleh lihat melalui laporan rasmi dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan, terdapat 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari.


Jikalau Hari kekasih ini tetap dibiarkan tanpa ada tindakan menghapuskannya , bermakna satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat! Apakah ini berita yang baik untuk generasi Malaysia akan datang? Apakah ini yang harus dihasilkan dari gejala kekasih di luar pernikahan?


Sedih bukan... Jadi dimanakah peranan kita sebagai umat Islam? Jangan biarkan semua ini berlaku... Kita perlu menghapuskan budaya dan gejala sosial ini. Demi kemaslahatan bersama.

14 Februari 2012

Gerimis Hati


Lama menyepi kerana mahu berdiam diri..
jiwa kacau otak ligat berpusing..
lantas suara hati sentiasa di rahsiakan..
berdiam diri untuk mencari ketenangan
dan
mencari jawapan setiap apa yang berlaku..
yakin Allah akan memberi hidayah setiap perkara....
HasbiyAllah huwani'mal wakil....