06 Julai 2013

Kenali Dirinya Dr.Muhammad Mursi


Masa pantas berlalu, bermula 28 june 2013 sehinggalah hari ini rakyat Mesir masih bersemangat mempertahankan kedudukan Dr.Muhammad Mursi. Dan saya sebagai saksi melihat semangat mereka yang tidak tahu erti penat dan lelah, dengan suhu 33'c tidak menghalang untuk mereka terus bertahan di Medan Rabaah Adawiyah , Alexandria, Mansurah dan beberapa tempat lain. Peluh yang menitis tidak dipedulikan dan hanya berbekalkan kayu sebesar kayu hoki dan helmet kepala sahaja yang menjadi perisai mereka. Kain Kafan dan Al-quran simbol mereka tidak gerun dengan kematian. Syahid fi sabilillah, laungan ALLAHUAKBAR menjadi kekuatan mereka. Betapa kentalnya hati mereka, walau telah dikepung dan das tembakan telah dilepaskan di udara untuk menakutkan pendokong Dr.Muhammad Mursi tapi mereka sedikitpun tidak berganjak dari Medan ini. Kagum dan sebak melihat kesungguhan mereka mempertahankan kedudukan Dr.Muhammad Mursi .Dalam masa 48jam beliau diberi tempoh untuk letak jawatan dan apabila berakhirnya tempoh perletakan jawatan President jawatannya telah dirampas oleh Ketua Majlis Tentera Abdul Fatah As-Sisi.    

Perlantikan beliau menjadi President Mesir bermula pada 30 June 2012 selepas Tentera yang menjaga kedaulatan negara selama setahun, kemenangan berpihak kepada beliau dari pilihanraya dan sekaligus meletakkan beliau untuk mengurus dan mentadbir negara Mesir yang mempunyai berjuta-juta rakyatnya. Dr.Muhammad Mursi seorang yang berjiwa rakyat, selama setahun beliau dilantik sebagai President. Beliau menjadikan istana President itu hanyalah tempat kerjanya sahaja selesai tugasnya beliau akan kembali ke rumah sewanya untuk berehat . Apabila bergerak ke suatu tempat beliau hanya akan menggunakan keretanya sendiri , beliau membuka sempadan Rafah dan terowong untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang selama ini ditutup oleh Husni Mubarak. Seorang yang tegas dalam setiap katanya dan sangat ditakuti oleh musuh Islam kerana kehebatannya.Kerana itulah mereka sanggup menggulingkan beliau dengan kekerasan.

Seandainya puak-puak musuh Islam tidak takut dengan beliau, tidak bimbang terhadap beliau, sudah tentu mereka hanya membiarkan saja tanpa berbuat apa-apa kerana mereka yakin Dr. Mursi tidak akan mampu melakukan impaks positif yang sangat besar kepada kebangkitan Islam di sekitar semenanjung tanah arab dan negara Mesir secara khususnya.

Kenali beliau dengan lebih mendalam, seorang insan yang sangat digeruni oleh musuh-musuh Islam.


Nama penuh beliau ialah Muhammad Muhammad Mursi Isa al-‘Ayyat. Dr. Mursi lahir pada 20 Ogos 1951 di Wilayah As-Syarqiyah, di sebuah perkampungan Al-Udwah. Beliau hidup dalam sebuah keluarga sederhana dan beragama, bapanya seorang petani dan ibunya seorang suri rumah. Berkahwin pada tahun 1978, mempunyai lima anak dan tiga cucu ini juga merupakan seorang bapa yang amat menitik-beratkan pendidikan agama kepada anak-anak. Beliau, isteri dan kelima-lima cahaya matanya (Ahmad, Syaima’, Usamah, Umar dan Abdullah) menghafaz al-Quran.

Akademik dan Kerjaya

Memulakan alam persekolahan di sekolah yang terletak di wilayah tersebut. Melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Cairo, Kaherah pada tahun 1970 dalam bidang kejuruteraan. Beliau menamatkan pengajian pada tahun 1975 dengan mendapat kelulusan cemerlang (imtiyaz). Selepas itu, beliau memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Metalurgi di Universiti Cairo juga pada tahun 1978. Tahun yang sama beliau berangkat ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang kejuruteraan kapal angkasa lepas dan memperoleh Ijazah Kedoktoran pada tahun 1982 di Universiti Southern California. 
Dekan Fakulti Kejuruteraan.

Beliau dilantik untuk menjadi pensyarah di Universiti Southern California, kemudian menjadi pembantu Profesor di Universiti California-North Ridge. Setelah kembali dari Amerika Syarikat, beliau ditawarkan sebagai Profesor dan Ketua di Jabatan Fakulti Kejuruteraan Material pada tahun 1985 hingga tahun 2000 di Universiti Zaqaziq. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di beberapa universiti, antaranya : Universiti Los Angeles, USA., Universiti Kaherah dan Universiti al-Fatih di Tripoli. Beliau juga pernah menjawat jawatan Sebagai pensyarah, beliau banyak terlibat dalam membuat kajian dan penyelidikan, mencecah hampir 27 kajian termasuklah kajian mengenai angkasa lepas. Atas kehebatan, keintelektualan dan kepintaran beliau, maka Amerika telah menawarkan kerakyatan kepada beliau dan isteri beliau sebagai rakyat Amerika. Namun, beliau menolak lantaran kasih dan sayang beliau terhadap tanah air tercinta.

Dr. Muhammad Mursi sangat terkenal dalam bidang akademik melalui pelbagai kajian dalam bidang industri yang menyentuh pengeluaran hasil bumi Mesir, malah mempunyai puluhan kajian dalam menyelesaikan kajian permukaan logam yang dianggap sebagai bidang utama kepakarannya, sehingga kajiannya diiktiraf oleh NASA pada tahun sekitar lapan puluhan yang lalu.

Dakwah dan Politik

Dr. Muhammad Mursi tidak hanya berkhidmat sebagai ahli akademik, malahan turut terjun ke gelanggang dakwah dan konsisten membela dan memperjuangkan keadilan dan kebebasan, menentang segala bentuk kezaliman dan kekejaman. Beliau yang aktif sebagai ahli Maktab Irsyad (Dewan Syura) Ikhwanul Muslimin ini, ikut bertarung dan terpilih sebagai ahli parlimen tempoh 2000-2005.

Pada pilihanraya parlimen 2005, beliau meraih suara terbanyak, mengalahkan musuh politiknya daripada Nasional Demokratic Party (NDP) parti Mubarak, namun keluar keputusan yang tidak berpihak, hingga dilakukan pemilihan semula yang memenangkan parti Mubarak.

Permasalahan lain yang menjadi perhatian utamanya adalah berkaitan Palestin dan Al-Quds, sebagai permasalahan Umat Manusia yang mempunyai hati nurani, dan tidak hanya permasalahan Bangsa Palestin sahaja, tapi menjadi permasalahan bersama umat Islam. Dr. Muhammad Mursi terpilih sebagai ahli Majlis Penentangan Terhadap Zionisme di Wilayah Syarqiyah. Selain itu, beliau juga terlibat sebagai pengasas Jawatankuasa Mesir Menentang Projek Zionisme.

Penjara dan Penangkapan

Dr.Muhammad Mursi antara pendakwah yang bergiat cergas dalam Jemaah Ikhwanul Muslim, perjuangan, pengorbanan, diri, jiwa dan harta telah diwaqafkan dalam jalan dakwah. Sedar dengan akibat yang akan hadapinya, melawan kezaliman rejim dan sistem kezaliman, penjara, pengusiran, dan sebagainya, adalah istilah yang tidak pernah lepas dari benak para pejuang.

Sikapnya yang terus menentang tindakan dan perilaku rejim zalim, menyebabkan beliau berkali-kali ditangkap. Selepas terjadinya pemalsuan parlimen pada pemilihan tahun 2005, Dr. Mursi menjadi tulang belakang dalam melakukan demonstrasi dan menyokong kehakiman yang bebas. Akibatnya, pada tarikh 18 Mei 2006 beliau ditangkap bersama 500 orang anggota Ikhwanul Muslimin di depan bangunan Mahkamah Cairo dan bangunan mahkamah Al-Jala di ibu negara Cairo, dan menghuni jeriji besi selama 7 bulan.

Dr. Mursi juga pernah ditangkap bersama-sama dengan sebahagian besar pimpinan Ikhwanul Muslimin yang lain, pada hari Jumaat pagi, yang terkenal sebagai Jumaat Amarah (Jumaat Al-Gadhab), 28 Januari 2011 supaya tidak terlibat dengan demonstrasi. Tidak hanya beliau yang dizalimi, keluarganya turut menjadi sasaran penangkapan, anaknya Dr. Ahmad ditangkap di saat Dr. Muhammad Mursi mencalonkan diri pada pemilihan tahun 2000.

Setelah prestasinya dalam politik selama lima tahun, Majlis Syura Ikhwanul Muslimin memilihnya sebagai anggota Maktab Irsyad, dan pasca Revolusi Mesir. Majlis Syura Ikhwanul Muslimin memilihnya sebagai Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) iaitu sebuah parti yang ditubuhkan oleh Ikhwanul Muslimin.

Selama lebih kurang 80 tahun Ikhwan Muslimin berjuang demi sebuah keadilan dan kebebasan. Selama itu pula mereka ditindas dan dizalimi. Telah banyak jiwa dan darah yang mengalir sepanjang jalan dan langkahan dakwah mereka bermula dari pengasasnya Assyahid Imam Hassan Al Banna, yang syahid terbunuh secara misteri, malah saat kematian dilayan dengan keji oleh pemerintah disusuli Sayyid Qutub dikurung dan dihukum gantung, Muhammad Al- Farigili, Abdul Qadir Audah, hingga As-Syahid Nashir Uwais.

Percaturan antara mereka belum berakhir, pendokong Dr Muhammad Mursi akan terus berada di Medan ini sehinggalah kedudukan President itu di kembalikan kepada beliau.

Semoga Allah swt membantu mereka yang berjihad menegakkan daulat Islamiyah.

Tiada ulasan: