21 Julai 2009

Jangan Marah BagiMu Syurga

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasullah s.a.w: " Berilah wasiat kepadaku". Lalu Rasullah s.a.w bersabda :" Jangan marah". Lelaki tersebut mengulangi pertanyaannya berkali-kali, sabda Rasullah s.a.w: " Jangan marah".
Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari didalam kitab "Adab".

Inilah wasiat Rasullah s.a.w selaku seorang guru, mursyid dan pemimpin agung ketika baginda diajukan persoalan oleh seorang sahabat yang ingi menempuh jalan ke syurga seterusnya membawa kepada syurga firdaus dan keredhaan Allah. Rasullah memberikannya sebuah wasiat yang abadi: "Jangan marah", hendaklah berakhlak dengan akhlak yang tinggi , akhlak kenabian, iman dan al-quran.Hindarilah perasaan marah ketika ada sebab-sebab yang menyebabkan kalian marah. Semaikanlah rasa cinta pada al-quran kerana ianya dapat menenangkan hati kalian pabila membaranya api kemarahan.Sesungguhnya syaitan sentiasa memperdayakan hamba-hamba Allah.

Marah adalah akhlak yang dicela dan tabiat yang jelek di lihat dari luar begitu juga dari dalam. Kerana ianya boleh memudaratkan dirinya sendiri dan begitu juga pada masyarakat. seorang muslim hendaklah membersihkan dirinya daripada akhlak-akhlak yang keji ini, tidak memandang kepadanya dan mendidik jiwanya supaya berakhlak dengan sifat sebaliknya.

Marilah kita bersama-sama merawat kemarahan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Islam.
Membiasakan diri dengan sifat sabar, lemah lembut, tenang. Sepertimana sifat lemah lembut Rasulullah s.a.w dapat meruntuhkan keegoan dan kejahilan Zaid bin Sa'nah sebelum memeluk agama Islam. Zaid menuntut hutangnya sebelum tamat tempohnya daripada Rasulullah s.a.w dengan penuh keras dan kasar. Rasulullah s.a.w tetap membalasnya dengan senyuman yang manis, sebaliknya Umar r.a memarahi lelaki tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda :" Aku dan dia, kami sebenarnya lebih berhajat kepada selain daripada ini wahai umar! Kamu sepatutnya menyuruh aku supaya melakukan pembayaran dengan baik dan menyuruhnya supaya menuntut hutang dengan cara yang baik".
Rasulullah s.a.w mengarahkan supaya ditunaikan hutang dan ditambah haknya sebagi gantian akibat herdikan yang diterimanya daripada Umar. Itulah yang menyebabkan Zaid memeluk Islam dan terselemat daripada kemurkaan llah dan nerakanya.( diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, al-Haakim dan atTobaraani)

Berwudhuklah ini kerana kemarahan mencetuskan kepanasan dalam badan, lalu darah menjadi cair dan menggelegak serta menyebabkan tubuh menjadi hangat. Air dapat menyejukkan dan mengembalikan pada asalnya. Disamping itu wudhuk adalah ibadat kepada Allah s.w.t yang mengandungi zikir. Dengan berwudhuk syaitan yang meniupkan api kemarahan di dalam hati manusia akan menjauhkan diri.

Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan dijadikan daripada api. Apabila seseorang daripada kamu marah hendaklah dia berwudhuk".

Berdiam diri adalah lebih elok dari mengeluarkan kata-kata yang mungkin akan perkataan yang boleh menambahkan kemarahan lagi.Dan ianya juga akan menyebabkan dia merasa menyesal setelah mengeluarkan kata-kata yang kasar ketika dirinya telah sedar akan kata-katanya.

Sama-samalah kita muhasabah diri....semoga kita semua berada digolongan orang-orang yang beriman.

Tiada ulasan: