04 April 2010

Dunia ini dan Islam Sekali Lagi DiHina


Agak terlambat saya memberi pandangan tentang hal ini. Ironinya apabila Islam dihina ramai yang melenting menyatakan kemarahan dan ketidakpuashatian mereka. Seluruh dunia mengadakan demonstrasi sebagai tanda protes terhadap situasi yang sedang berlaku.


Malangnya ia bagaikan air pasang dan surut. Sensitiviti ini muncul sesekali apabila ada isu berkaitan agama yang dipersoalkan. Sedangkan apabila diteliti institusi kenabian sebagai contoh, tak pernah lekang daripada pelbagai ejekan dan tohmahan sepanjang zaman.


Dahulu Nabi Muhammad SAW pernah dikatakan tukang sihir, orang gila dan pemecah-belah masyarakat, hari ini ejekan dan tohmahan terhadap Baginda SAW masih berterusan cuma dalam bentuk yang berbeza. Ada yang melukis karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW dengan gambaran yang mengaibkan dan tidak kurang juga yang menulis blog menghina Nabi Muhammad SAW. Malahan segelintir umat Islam juga turut terlibat mencemarkan institusi kenabian dengan tanpa malu-malu mengaku sebagai nabi.


Dan kini muncul semula karikatur (gambar diatas) yang mengambar betapa islam dihina. Hati mana yang tidak sakit hati melihat betapa rendahnya mereka letakkan islam dibawah dan pabila membaca pengakuan Lars Vilks yang seolah-olah tidak mahu dipersalahkan oleh pihak ramai. Beralasankan untuk menunjukkan kebebasan artis menyindir semua agama dan termasuk agama islam.


Lars Vilks mengatakan beliau mahu bebas sindir agama. "Saya sebenarnya tidak berminat untuk menghina.Tujuan karikatur itu dibuat adalah untuk menunjukkan ia boleh dilakukan. Tidak wujud sebarangperkara yang sangat mulia sehingga tidak boleh diejek," kata Vilks dalam satu temubual di Stockholm. Karikatur ini dipamerkan disebuah muzium.


Saya percaya setiap pembaca mahupun pendengar merasakan marah yang membara dan sakit hati , hati pedih, geram, pelbagai lagi emosi dikeluarkan. Dan pastinya otak juga ligat berfikir Kenapa Islam menjadi bahan ejekan dan cemuhan pihak yang tidak bertanggungjawab? Tapi perlukah kita melenting sahaja tanpa berbuat apa-apa kemudian biarkan berita ini berlalu bagaikan hembusan angin ? Memang benar kita perlu marah dan melenting tapi adakah perlu dengan memaki hamun? Dimana letaknya keperibadian seorang muslim bila dihadiahkan lagi sebuah episod penghinaan islam? Dan ini adalah persoalan yang mesti difikirkan bersama oleh setiap individu muslim.


Mudah saja kita melenting dan memaki hamun tetapi adakah kita merasakan ianya berbaloi?Persoalan-persoalan ini perlu dijawab, bukan hanya sekadar berpeluk tubuh, selesa menuding jari kepada pembuat angkara. Cerminlah diri sendiri sebelum mencemuh orang lain. Malahan tabiat buruk seperti ini perlu dikikis , jika ingin melihat umat Islam maju setanding dengan yang lain.


Dan semalam ahli bait saya menunjukkan sebuah video yang diupload dan di tag disetiap senarai kawan-kawan dalam facebook . Ramai yang memberi komen ada yang positif dan ada juga negatif. Video itu dirakamlan oleh anak-anak remaja bukan islam yang ketika itu berada didalam gereja berlakon seolah-olah mereka sedang solat tetapi pergerakan mereka sungguh menyakitkan hati.. dan yang merakam itu juga sengaja mengatakan sambil gelak ketawa,

"orang-orang ini sedang menyembah para jemaah didepan ini termasuk saya(orang yang sedang merakam)".

Mudah bukan mereka mengejek agama islam...tetapi suatu benda yang ingin katakan ada juga yang memaki video ini. kenapa memaki? kenapa menyebut benda yang tidak sedap dihalwa pendengaran ini? kenapa?? memang menyakitkan hati melihat tetapi lagi menyakitkan bila membaca komen video ini.


Inilah kita yang mudah melenting,mudah menutur kata yang kurang enaknya dan kenapa kita tidak lebih berfikir jauh. Mudah kata seperti akal pendek. Dan ketika mereka mula menghina kependekan akal kita, kita terus rasa hati mendidih marah. Tepuk dada tanyalah pada diri sendiri. Cermin diri kita. Kita ini muslim. Begitukah cara kita??


Inilah kita bila ditinjau dari sudut perbuatan dan tingkah laku sama sekali tidak menampakkan ciri-ciri seorang muslim yang dapat menggambarkan ketinggian dan kemurnian Islam sebagai The Way of Life.


Dan keputusannya,sesetengah masyarakat Islam telah menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Ini dapat diperhatikan sendiri melalui cara berpakaian, pergaulan dan muamalah seharian. Perlakuan ini membawa kepada masalah-masalah lain yang semakin bernanah dalam masyarakat seperti sumbang mahram, pesta seks, minum arak, buang bayi dan lain-lain yang seolah-olah sinonim dengan masyarakat Islam.


Adalah tidak adil jika hanya seronok menyalahkan orang tanpa menilai kelakuan sendiri. Cemuhan terhadap Nabi Muhammad SAW melalui blog seperti yang dilaporkan oleh akhbar baru-baru ini, jika ditinjau dari satu sudut berlaku kerana mereka tidak mengenal peribadi Nabi Muhammad SAW.


Dari sudut lain, ia juga berlaku kerana kelalaian dan kealpaan masyarakat Islam dalam melaksanakan ajaran Nabi Muhammad SAW yang boleh menjadi cerminan kepada keluhuran budi pekerti Baginda SAW yang mulia.


Sebagai contoh ada di kalangan remaja Islam yang kini lebih seronok mengenakan topi ala Santa Klaus ketika menyambut perayaan Hari Natal, dengan penuh bangga bergaya ke sana ke mari, tanpa disuruh bahkan sanggup berbelanja lebih semata-mata untuk berseronok. Malangnya amalan memakai kopiah atau songkok yang menunjukkan keperibadian seorang Muslim tak pernah diendahkan malah malu untuk memakainya kerana bimbang dikatakan berlagak alim dan sebagainya.


Inilah antara kebimbangan yang pernah disuarakan oleh Nabi Muhammad SAW disaat hampir terjadinya hari kiamat, Islam hanya tinggal nama kerana tidak dipraktikkan manakala al-Quran hanya tinggal huruf-huruf, kerana tidak dibaca. Lebih merosakkan lagi apabila orang Islam lebih cenderung menjadikan al-Quran sebagai tangkal penghalau hantu berbanding melaksanakan ajaran al-Quran dalam segala urusan harian yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia.


Akibat kealpaan dan kelalaian itu, Islam terus dihina, umat Islam pula menghidap pelbagai jenis penyakit yang sukar untuk diubati. Kesannya bukan sahaja dirasai oleh kita masyarakat Islam di sebahagian tempat, malah telah merebak dan berjangkit ke seluruh dunia, Islam dilabel sebagai pengganas, jumud dan menolak kemajuan.


Atas alasan itu jugalah saudara Islam kita di Palestin ketika ini berdepan dengan angkara durjana penjajah Israel yang bersifat kebinatangan. Saban hari ada sahaja yang dibunuh, tanah-tanah dirampas, mereka diserang bertubi-tubi tanpa belas kasihan melalui udara, laut dan darat.


Penjajahan Israel ke atas negara Islam Palestin bukan sejarah baru. Orang Islam Palestin terus menjadi sasaran peluru berpandu Israel, bedilan meriam dan tembakan senjata api tanpa peri kemanusiaan.

Setelah 60 tahun dijajah, masih lagi diperlakukan seperti binatang, saudara Islam Palestin masih menderita. Penyembelihan ke atas kanak-kanak, orang tua dan yang tak berdaya berterusan tanpa pembelaan yang sewajarnya.

Akhirnya saudara Islam Palestin terpaksa berjuang habis-habisan, bersendirian mempertahankan agama, kehormatan dan tanah air mereka sehingga ke titisan darah yang terakhir. Dengan bekalan makanan dan minuman yang terbatas mereka sanggup bermandikan darah, demi untuk syahid dan mendapat nikmat syurga seperti yang dijanjikan oleh Allah.
Sampai bilakah mereka akan terus bermandi darah. Apakah tindakan yang telah dilakukan oleh kita sesama saudara Islam. Paling menyedihkan apabila terdapat sesetengah daripada kalangan masyarakat Islam yang langsung tidak ambil peduli senario yang berlaku.
Mereka sibuk dengan berbagai-bagai bentuk hiburan yang berjaya mengalihkan ingatan dan perhatian terhadap isu berdarah di Palestin. .diberikan kemudahan yang berlipat ganda tanpa melihat dari mana sumbernya. Dalam diam-diam kita sebenarnya adalah penyumbang dana pada mereka dan kita langsung tidak menyedarinya. Mudah sungguh kita alpa...


Mungkin penyakit umat akhir zaman, cinta dunia dan takut mati yang pernah dikatakan oleh Nabi Muhammad SAW, telah merebak dan melanda di serata dunia Islam. Sehingga masyarakat Islam lebih mementingkan diri sendiri, sibuk dengan urusan dunia tanpa ada masa mempedulikan sesama saudara se-Islam.


Ingatlah sabda Nabi Muhammad SAW yang pernah menyebutkan: "Perumpamaan seorang Muslim dengan Muslim yang lain dari segi kasih sayang, hormat menghormati dan saling bertimbang rasa adalah seperti satu jasad, Apabila ada satu anggota daripada jasad itu sakit maka seluruh badan akan turut menderita kesakitan".


Rasakanlah penderitaan mereka sebagai bukti kasih-sayang dan cinta sesama Islam. Laksanakanlah segala ajaran syariat demi untuk memartabatkan Islam agar tidak terus dipandang hina di mata dunia, hulurkanlah sumbangan dan bantuan bagi membantu saudara se-Islam yang ditindas dan dizalimi.


Iringilah perjuangan mereka dengan doa sambil berharap agar Allah SWT membantu mereka dengan bala tentera yang tidak kelihatan seperti di hari Peperangan Badar. Semoga Allah SWT menurunkan pertolongan-Nya kepada saudara se-Islam di Palestin, atau menggantikannya dengan kenikmatan gugur syahid kerana mempertahankan ketinggian dan kehormatan Islam yang suci.

Tiada ulasan: