04 November 2009

Tidak Ada Ketenangan kalau Tiada Iman



Tidak diragui lagi bahawa ketenangan jiwa menjadi sumber utama untuk memperoleh hidup bahagai. Tetapi bagaimana jalan untuk mencapai ketenangan, kalau ianya bukan sesuatu yang dapat dihasilkan oleh kecerdasan dan pengetahuan, bukan kerana kesihatan dan kekuatan, bukan kerana harta dan kekayaan, bukan kerana kesenangan dan kebendaan.

Ketenangan jiwa itu hanya kita dapat melalui satu sahaja iaitu IMAN dengan Allah dan hari akhirat.Perjalanan hidup ini telah memberi pelajaran dan pengajaran kepada kita sebagai insan yang lemah yang senantiasa menerima dugaan, yang senantiasa dilamun keluh kesah, yang senantiasa merasa kesepian dan tidak mempunyai apa-apa, hanyalah orang-orang yang tidak memperoleh nikmat iman dan keyakinan. Hidup mereka tiada rasa dan tiada perisa tambahan, ianya hambar dan kosong biarpun mereka dilimpahi kemewahan dan kekayaan tetapi mereka sebernanya miskin dengan keimanan dan ketenangan.



Ketenangan jiwa itu adalah hembusan dari langit, diturunkan ke dalam hati orang yang beriman dari penduduk bumi, supaya mereka berhati teguh dikala menghadapi kegusaran, mereka yakin ketika orang sekeliling berada didalam keraguan, mereka bersabar ketika orang sekeliling keluh kesah dan mereka berlapang dada ketika orang sekeliling di dalam keadaan panik.Ketenangan inilah yang senantiasa memenuhi jiwa Rasulullah s.a.w di hari hijrah bersama dengan Abu Bakar. Ketika itu Rasulullah s.a.w tiada rasa cemas, tiada tekanan, tiada ketakutan, tiada kegentaran, tiada keraguan dan tiada keluh kesah.

Disebutkan keadaan Rasulullah s.a.w dalam firman Allah:

"Sesungguhnya Allah telah menolongnya (Muhammad) ketika orang-orang kafir mengusirnya, hanya berdua sahaja, ketika keduanya dalam gua, dikala itu dia berkata kepada kawannya : “ Janganlah engkau bersedih hati, sesungguhnya Allah bersama kita

(At Taubah-ayat 40)


Adakah orang yang beriman lebih merasakan ketenangan jiwa dan ketenteraman hati? Apa sebab ketenangan itu tidak diperoleh manusia dalam ilmu pengetahuan dan kebudayaan? Atau dalam apa-apa yang dihasilkan dalam arus teknologi kemodenan dengan alatan yang mungkin boleh memperindahkan kehidupan?

Jawapannya adalah semuanya itu terletak pada diri sendiri. Bila kita menyedari siapa yang mencipta kita, bagaimana wujudnya bumi ini, langit ini, bulan dan matahari, kita pasti ianya di cipta dari kuasa yang besar dan ianya tidak mungkin dari insan seperti kita. Tepuk dada tanyalah IMAN. Sesungguhnya Allah s.w.t itu maha berkuasa yang senantiasa inginkan hamba-hambanya bersyukur dan beriman kepadaNYA.

Tiada ulasan: