28 Ogos 2009

Sunnah-Sunnah Puasa


Merujuk daripada kitab Fiqh Syafie, saya ingin berkongsi sedikit bersama kalian tentang adab-adab berpuasa terutama sekali ketika kita sedang menjalani bulan puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini.Semoga dengan ini dapat membantu kita semua muhasabah diri dan meningkatkan amal ibadah kita.Sunnah-sunnah berpuasa adalah:

1) Menyegerakan berbuka.

Ini dilakukan apabila telah yakin tenggelamnya matahari. Dalil bagi menyegerakan berbuka puasa diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim daripada Sahal Bin Sa’ad r.a bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda:
"لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر“
"Manusia akan terus berada dalam kebaikan selagimana mereka terus menyegerakan berbuka.”

Lebih afdhal kita berbuka dengan buah kurma yang basah atau kering sekiranya tidak ada kurma, berbukalah dengan air.

At-Tirmizi dan Abu Daud telah meriwayatkan
" Nabi s.a.w berbuka sebelum sembahyang Maghrib dengan beberapa biji kurma basah. Sekiranya tidak ada kurma basah, maka Baginda berbuka dengan kurma kering. Sekiranya tidak ada juga, maka Baginda menghirup beberapa teguk air, sesungguhnya ia adalah suci."


2) Sahur

Bermaksud makanan yang dimakan pada akhir malam. Dalil disunatkan bersahur diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim.

تسحروا فإن في السحور بركة
"Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya dalam sahur itu ada barakah”
Hikmah disunatkan bersahur adalah untuk menguatkan diri melakukan ibadah puasa disiang hari.

Al-Hakim didalam Al-Mustadrak meriwayatkan bahawa Nabi s.a..w bersabda:
"Dapatkanlah bantuan dengan makanan sahur untuk menguatkan puasa pada siang hari”
Fadhilat sahur diperoleh dengan memakan sesuatu, tidak kiralah berapa banyak ataupun sedikit atau sekadar minum air sahaja.

Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam Sahihnya. Sabda Nabi s.a.w:
“ Bersahurlah kamu walaupun dengan seteguk air.



3) Melewatkan Sahur.
Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya daripada Nabi s.a.w bersabda:

"Umatku terus berada dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur"



4) Meninggalkan Kata-Kata Yang Mesti Dijauhi.

Kata-kata yang mesti dijauhi seperti menipu, mengumpat, mencela, menghasut dan seumpamanya. Seorang yang berpuasa juga hendaklah menahan dirinya daripada perkara-perkara syahwat seperti nelihat wanita dan mendengar lagu-lagu.

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:

"Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya Allah tidak memerlukannya untuk meninggalkan makan dan minumnya."

Ketahuilah kalian bahawa mencela, menghasut, mengumpat, menipu dan seumpamanya merupakan perkara yang sememangnya diharamkan. Ianya akan menghapuskan pahala puasa walaupun hukum puasanya adalah sah dan dikira telah melaksanakan kewajipan.



5) Mandi Junub Sebelum Fajar


Ini dilakukan untuk memastikan dirinya bersih daripada awal puasa lagi.

Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari.

"Nabi s.a.w pernah bangun pagi di dalam keadaan junub kerana jima’ tanpa bermimpi kemudian Baginda mandi dan berpuasa.”

Wanita haid dan nifas juga disunatkan mandi sebelum fajar apabila telah sempurna suci dan darah telah berhenti sebelum ini.



6) Tidak berbekam dan seumpamanya.


7)Berdoa sewaktu berbuka puasa



8)Menyediakan makanan untuk mereka yang berbuka puasa

Rasulullah s.a.w telah bersabda:
"Barangsiapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia mendapat ganjaran sepertinya orang yang berpuasa tanpa dikurangkan ganjaran orang yang berpuasa sedikit pun." (Riwayat At-Tirmizi)


9)Banyakkan bersedekah , membaca Al-Quran, bertadarus dan beriktikaf di masjid terutama 10 malam terakhir.

Anas r.a berkata:
Rasulullah s.a.w ditanyakan: “ Wahai Rasulullah, apakah sedekah yang paling utama?”. Jawab Baginda : “ Sedekah pada bulan Ramadhan” (Riwayat At-Tirmizi)


Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan:
"Jibril telah menemui Rasulullah s.a.w pada setiap tahun di bulan Ramadhan sehingga akhir bulan ramadhan dan Jibril membaca Al-Quran bersama-sama Nabi s.a.w."

(Rujukan Kitab Feqh Syafie)


Semoga kita dapat memanfaatkannya..waullahua'lam...

1 ulasan:

محمد المصرى berkata...

اعرف عن حملة يلا نعيش النجاح

على مدونتى نجاح ورانجاح